Penduduk undi, pilih calon Ketua Kampung Kiarong Kawasan 1



​​


Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman





KAMPUNG KIARONG, Ahad, 17 Mei. - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Kiarong Kawasan 1, Mukim Gadong 'B' diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kampung Kiarong dengan menggunakan kaedah kertas undi. Manakala pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah pun bermula pada 12 Mei yang lalu.


Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.


Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing; Pegawai Tugas-Tugas Khas selaku wakil Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Muhamad Haziq bin Arshad, penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung di Mukim Gadong 'B'.


Atur cara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdullah.


Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi Calon Ketua Kampung Kiarong Kawasan 1, Mukim Gadong 'B' menyaksikan Awang Muhammad Najib bin Haji Abd. Hamid mendapat sebanyak 124 undian setuju manakala tidak ada undian tidak setuju dan undian rosak. Awang Muhammad Najib, berumur 35 tahun, mempunyai kelulusan 1 kredit dalam Peperiksaan GCE Peringkat 'A' pada tahun 2010.


Beliau dicadangkan oleh Awang Omarsidi bin Haji Ahmad, disokong oleh Awang Haji Puasa bin Haji Dullah selaku Penyokong Pertama dan Awang Haji Ahmad bin Haji Tudin selaku Penyokong Kedua.


Keputusan pengundian dan pemilihan calon ketua kampung akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.


Close